
Aktiviti menulis tidak semestinya bermula dan berakhir di atas buku latihan semata-mata. Ramai ingat bila tiba aktiviti menulis, buku latihan perlu sedia atas meja anak. Jika kita tetapkan seperti itu, anak mungkin cepat bosan dan mudah hilang fokus.
Di sini saya kongsikan 5 aktiviti menulis yang ibu ayah boleh guna tanpa menggunakan buku latihan.

Aktiviti 1 : Tulisan Pasir
💛 Sediakan pasir di atas bekas atau pinggan. Ibu ayah tunjukkan kad huruf yang ingin dipelajari dan cara menulis huruf di atas pasir. Minta anak tulis huruf beberapa kali. Jika tiada pasir, boleh gantikan dengan garam. Biarkan anak seronok 'membentuk' huruf sebelum menulis pada buku latihan.

Aktiviti 2 : Tulisan Angin
💜 Tulisan angin membantu tingkatkan daya imaginasi anak. Ibu ayah tunjukkan cara menulis atas angin. Mulakan dengan garisan lurus, beralun dan bentuk seperti bulat. Kemudian, selitkan satu atau dua huruf pada satu-satu masa. Elak tegur kesilapan anak jika tulisan angin anak belum tepat. Perlahan-lahan betulkan selepas beberapa kali aktviti tulisan angin dibuat.

Aktiviti 3 : Tulisan Kapur
💙 Kapur tulis bantu anak kenal bentuk huruf secara 'kasar'. Cari kawasan untuk anak menulis menggunakan kapur tulis seperti lantai atau dinding. Aktiviti ini bukan nak anak terus fokus bentuk huruf atau perkataan. Aktiviti ini nak anak biasakan menulis huruf dengan saiz yang bebas. Biarkan anak tulis huruf saiz kecil, besar atau mungkin jauh berbeza dari apa yang ibu ayah inginkan. Kita nak anak mula biasa memegang 'sesuatu' untuk menulis.

Aktiviti 4 : Doh Huruf
💚 Sediakan doh dan minta anak menguli doh menjadi bentuk panjang atau bulat. Pilih huruf secara rawak dan sebut huruf sambil bermain doh dengan anak. Ketika anak seronok menguli doh, anak akan rasa 'tak belajar'. Jadi, ibu ayah perlu memainkan peranan di sini untuk sebut huruf atau uli doh mengikut huruf. Minta anak tiru bentuk doh dan sebut huruf sekali-sekala ketika aktiviti tersebut.

Aktiviti 5 : Berus dan Air
❤️ Bermain warna sememangnya dunia anak-anak. Sediakan berus, cat air dan kotak kosong. Jadikan aktiviti ini seperti aktiviti bebas. Biarkan anak berkarya bebas menggunakan bahan yang disediakan. Selit beberapa huruf ketika aktiviti. Contohnya, anak lukis rumah, ibu ayah boleh selit huruf 't' pada tingkap.
Sebenarnya, kita sebagai ibu ayah boleh tarik minat anak hanya dengan pelbagaikan aktiviti menulis. Bagi peluang anak meneroka kemahiran menulis dengan aktiviti yang berbeza.
Jika anak dah seronok dengan aktiviti menarik, ibu ayah boleh beri latihan menulis secara berperingkat menggunakan lembaran kerja yang sesuai dengan tahap kemahiran menulis anak.









