Instrumen Pentaksiran Pemerhatian : Cadangan Aktiviti

Pentaksiran merupakan perkara penting yang perlu diketahui oleh seseorang yang bergelar guru. Tanpa proses pentaksiran, guru sukar untuk melihat tahap penguasaan dan perkembangan murid dari pelbagai aspek. 

Pentaksiran juga membantu menilai keberkesanaan strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh guru. Ini kerana, tidak semua strategi pengajaran dan pembelajaran sesuai digunakan untuk semua murid. Kadang kala, guru perlu menambah atau mengubah strategi berdasarkan beberapa faktor. 

Selain guru, ibu bapa juga perlu mengambil berat mengenai pentaksiran. Menghantar anak ke sekolah tanpa mengetahui perkembangan anak pasti mengecewakan guru dan anak itu sendiri. Ibu bapa perlu ambil tahu kepentingan pentaksiran anak-anak dari semasa ke semasa.

Guru yang ingin melaksanakan pentaksiran perlu merancang dan membina instrumen terlebih dahulu. Instrumen pentaksiran merujuk kepada alat atau kaedah yang digunakan untuk menilai tahap pencapaian dan perkembangan murid dalam pembelajaran. Ia boleh berbentuk pemerhatian, lisan, penulisan atau pentaksiran kendiri.

Terdapat beberapa instrumen pentaksiran yang boleh guru gunakan untuk mentaksir murid. Untuk post kali ini, saya fokus salah satu instrumen pentaksiran iaitu 'Pemerhatian'. 

Instrumen Pentaksiran : Pemerhatian

Di sini, saya kepilkan gambar yang menunjukkan cara menggunakan instrumen pemerhatian dan beberapa cadangan aktiviti yang boleh digunakan untuk mentaksir murid.

Selain cadangan aktiviti pemerhatian di atas, ada banyak lagi aktiviti yang boleh dirancang dan dilaksanakan oleh guru. Di sini, saya senaraikan 5 lagi contoh aktiviti yang lain.

1. Aktiviti Main Peranan 

✔️ Murid diberikan situasi seperti "di kedai" atau "di hospital", kemudian murid diminta untuk berlakon. Contohnya, murid berlakon sebagai pelanggan di sebuah kedai.

✔️ Guru boleh memerhati kemahiran komunikasi, kerjasama dan pemikiran kreatif murid.

2. Eksperimen Sains

✔️ Murid menjalankan aktiviti menguji objek tenggelam atau timbul.

✔️ Guru boleh menilai kemahiran pemerhatian, pemikiran logik dan minat murid terhadap sains.

3. Aktiviti Motor Kasar

✔️ Murid melakukan aktiviti seperti melompat, berlari atau menyeimbangkan badan di atas garisan. 

✔️ Guru boleh memerhati ketangkasan fizikal, koordinasi pergerakan dan keyakinan diri murid.

4. Aktiviti Seni dan Kreativiti

✔️ Murid diberikan bahan seni seperti kertas warna, gam dan gunting untuk menghasilkan karya kreatif secara bebas. 

✔️ Guru boleh menilai kemahiran motor halus, keupayaan menyusun idea dan ekspresi kreatif murid.

5. Aktiviti Muzik dan Pergerakan

✔️ Murid diminta melakukan pergerakan mengikut irama muzik seperti tepuk tangan atau tarian ringkas. 

✔️ Guru boleh memerhati kemahiran koordinasi pergerakan, kepekaan terhadap bunyi dan keupayaan murid mengikut arahan.

Sebenarnya, guru boleh mempelbagaikan aktiviti mengikut tahap perkembangan murid, minat murid, kelapangan masa dan kemudahan yang terdapat di dalam kelas.

Semoga cadangan aktiviti pemerhatian di atas memudahkan proses pentaksiran dan bermanfaat untuk guru-guru serta ibu bapa.

Selain pemerhatian, ada beberapa instrumen lain yang boleh digunakan untuk mentaksir murid. Instrumen lain saya akan post pada masa terluang nanti. Moga bermanfaat.

 

Boleh klik sini untuk bahan-bahan pentaksiran yang boleh membantu ibu bapa dan guru melihat tahap penguasaan serta perkembangan anak / murid.


Back to blog

Leave a comment